Thomas berkata anggota tribunal yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Artikel 114 (3), 125 (3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang bersara terdiri daripada Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong yang akan mempengerusikan tribunal itu, Tan Sri Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham.

Beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini,peguam yang akan membantu tribunal adalah M. Puravelan daripada Majlis Peguam dan Kogilambigai Muthusamy serta Ann Khong Hui Li daripada Pejabat Peguam Negara, dengan Ann Khong juga menjadi setiausaha.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata prosiding akan bermula pada pukul 10 pagi.

“Walaupun enam anggota SPR telah meletak jawatan daripada perkhidmatan, tribunal bebas untuk membuat keputusan atas semua perkara yang dirasakan perlu, apabila mereka mengemukakan syor kepada Yang di-Pertuan Agong, “ katanya.

Bekas anggota SPR berkenaan adalah Tan Sri Othman Mahmood, Datuk Md. Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam and Datuk Leo Chong Cheong.

Thomas berkata terdapat tuduhan serius ke atas SPR dalam peranan mereka membuat persiapan dan mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-14, sebelum dan semasa hari membuang undi pada 9 Mei 2018.

“Disebabkan itu, Perdana Menteri mengemukakan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa enam anggota Suruhanjaya Pilihan Raya yang masih tinggal perlu disiasat dan jika salah laku yang serius ditemukan, adalah tertakluk kepada kemungkinan penyingkiran daripada perkhidmatan menurut Artikel 114(3) dan 125 (3) Perlembagaan Persekutuan, iaitu melalui tribunal hakim-hakim.

“Pada 17 Okt 2018, dilaporkan kerajaan sudah memulakan proses penubuhan tribunal itu. Sehari kemudian, lima anggota Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan peletakan jawatan mereka. Seorang lagi anggota yang tinggal akhirnya meletakkan jawatan pada 27 November 2018. Kesemua peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 1 Januari 2019,” katanya. - BERNAMA