Adam Rosly Abdullah

Ketua Penolong Ka­nan Penguasa SPRM, Shahrul Izuan Mohd. Zin, 38, berkata, dapatan itu diperoleh setelah membuat semakan terhadap dua akaun bank Adam Rosly dan satu akaun isterinya bermula awal Januari 2014 hingga Disember 2016.

Beliau berkata, hasil semakan dalam tempoh tersebut menunjukkan terdapat lebih RM5 juta kemasukan ke dalam semua akaun dan pengeluaran pula le­bih RM4.8 juta.

“Hasil semakan dan siasatan menunjukkan kemasukan wang ke dalam akaun tersebut hanya sementara, seolah-olah akaun itu akaun transit.

“Dapatan tersebut telah saya maklumkan kepada ketua cawa­ngan dan beliau mengarahkan untuk memanggil Datuk Adam bagi memberi keterangan serta penjelasan mengenai transaksi tiga akaun itu kepada SPRM,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan hari pertama terhadap Adam Rosly.

Adam Rosly, 31, yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dibi­carakan selepas me­ngaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi pernya­taan palsu dan empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM, Februari tahun lalu.

Keenam-enam pertuduhan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Perseku­tuan, Putrajaya, pada pukul 9 pagi dan 12.15 tengah hari, 10 Februari 2017 serta pukul 9 pagi dan 2 petang, 22 Februari tahun sama.

Pertuduhan memberi pernya­taan palsu dikemukakan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pence­gahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 manakala pertuduhan mengemukakan dokumen pal­su mengikut Seksyen 89 akta sama yang masing-masing membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Shahrul Izuan berkata, pada 7 Februari 2017, dua notis telah di­serahkan kepada Adam Rosly iaitu notis kehadiran untuk memberi keterangan dan satu lagi notis meminta tertuduh mengemukakan dokumen seperti akaun dan punca sumber pendapatan yang lain.

“Saya telah serahkan notis itu kepada Datuk Adam di kediamannya dan menjelaskan butir-butir mengenai notis berkenaan serta tarikh yang ditetapkan untuk dia hadir memberi keterangan.

“Seperti yang diarahkan, Datuk Adam hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 8.30 pagi, 10 Februari 2017 dan rakaman percakapan tersebut dilakukan oleh seorang pegawai lain memandang­kan saya mempunyai urusan pen­ting yang perlu diselesaikan,” kata saksi pendakwa ketiga itu.

Selain Shahrul Izuan, turut dipanggil untuk memberi ketera­ngan adalah Penolong Penguasa SPRM, Fatin Farhana Haris, 30, dan Penguasa Kanan agensi tersebut, Mohamed Izam Abd. Nasir, 39.

Perbicaraan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail bersambung esok.