Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas berpendapat, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan setiap tertuduh mempunyai hak untuk memilih mana-mana peguam bagi mewakili mereka.

Bantahan tersebut dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada 27 Februari lalu atas alasan firma guaman berkenaan telah mewakili dua pesalah kanak-kanak lain di Mahkamah Majistret di sini dalam kes dadah berhubung tragedi kebakaran pusat tahfiz tersebut.

Dalam keputusannya, Hakim Azman menyatakan, pihak pembelaan telah menjelaskan bahawa tidak akan berlaku sebarang pertalian atau kaitan antara mereka dengan dua pesalah kanak-kanak itu yang merupakan saksi pendakwaan kes tersebut.

Sehubungan itu, peguam Gobind Singh Deo atau mana-mana peguam yang beramal di bawah firma guaman tersebut dibenarkan mewakili kedua-dua tertuduh dalam kes bunuh berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes dan perbicaraan selama 12 hari bermula 30 Mei ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz serta turut hadir dalam prosiding hari ini adalah Ahmad Nazrin Abu Bakar yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pusat tahfiz dan keluarga mangsa.

Ketika mengemukakan bantahan awal secara lisan dalam prosiding pada 30 Januari lalu, pihak pendakwaan menyatakan dengan mewakili dua pesalah kanak-kanak itu di Mahkamah Majistret yang merupakan saksi utama kes bunuh ini, maka firma berkenaan yang mengendalikan pembelaan tertuduh-tertuduh mempunyai akses dan keterangan yang bakal digunakan semasa perbicaraan kelak.

Mengikut pertuduhan, dua remaja yang kini berusia 17 tahun itu didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-dua remaja itu masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kejadian tersebut, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar dan hasil siasatan dipercayai terdapat unsur khianat dalam kejadian itu.