Dua remaja itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua 23 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka yang kini berusia 17 tahun itu didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-dua remaja itu masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 14 September tahun lalu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE