Injunksi sementara itu berhubung kes saman melibatkan klip video bertajuk BN Govt. Abandons All Bills To Give Precedence To Pas RUU355 Private Member’s Bill di akaun Facebook beliau pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada 6 April 2017.

Peguam Michelle Ng yang mewakili Tony Pua berkata, permohonan tersebut difailkan pihaknya pada 9 Mac lalu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Februari lalu.

Sementara itu peguam Norhazira Abu Haiyan yang mewakili Perdana Menteri memberitahu pemberita, Hakim Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab ketika pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 April ini bagi pengurusan kes selanjutnya.

Pada bulan lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Tony Pua untuk membatalkan perintah injunksi sementara sebelah pihak yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi setelah berpuas hati Perdana Menteri telah memenuhi keperluan tertentu yang membolehkan permohonannya bagi mendapatkan perintah tersebut, dibenarkan.

Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang mengetuai panel itu berpendapat, Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah ketika membenarkan permohonan Najib selain wujud kecenderungan bahawa Tony Pua berniat mengulangi perbuatannya menerbitkan kenyataan dan video klip itu.

Seorang lagi anggota panel itu, Hakim Datuk Yaacob Md. Sam berkata, mahkamah turut mengambil notis kehakiman bahawa isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang mengaitkan Perdana Menteri, telah disiasat dan diperhalusi oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ujar hakim berkenaan, pendirian berhubung isu 1MDB yang dikaitkan oleh Tony Pua itu kemudian didedahkan kepada umum menunjukkan Najib bebas daripada tuduhan salah laku.

Wakil rakyat pembangkang itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos tahun lalu yang mengeluarkan perintah injunksi sementara sebelah pihak yang menghalang beliau daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa memfitnah Najib.

Najib memfailkan permohonan injunksi itu bagi menghalang Tony yang didakwa memfitnahnya menerusi kenyataan pada 6 April 2017 berkaitan pembentangan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355, yang juga dimuat naik dalam Facebook rasminya, ‘Tony Pua’.

Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Tony atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan beliau dalam klip video berkaitan pembentangan RUU 355.