R. Poobalan, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Dia didakwa menipu Chin Jia Gi, 37, dengan memperdayakan mangsa bahawa tertuduh mengalami penyakit strok dengan memberikan borang tuntutan perlindungan penyakit kritikal sehingga mendorongnya untuk meluluskan tuntutan bernilai RM1,013,667.69 sedangkan tertuduh mengetahui perkara itu tidak benar.

Bapa tiga anak itu didakwa telah melakukan perbuatan itu di Great Eastern, Jalan Ampang di sini pada 19 Mei 2016.

Pertuduhannya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Tan Kim Kiek memohon mahkamah membenarkan jaminan RM100,000 terhadap anak guamnya atas alasan ia bukan kesalahan jenayah.

“Selain itu, tertuduh juga mempunyai kes yang sama di Mahkamah Seremban dan Petaling Jaya,” kata Kim Kiek.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE