SUSPEK dikenali sebagai Kak Ton.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek yang berusia 48 tahun ditahan pada pukul 11.35 pagi ini selepas memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

“Berdasarkan fakta kes, pada 25 Januari tahun lalu, seramai 16 mangsa membayar wang sebanyak RM117,500.00 kepada suspek bagi menunaikan umrah pada Disember lalu.

“Bagaimanapun, pada November 2017, suspek memberitahu mangsa bahawa pakej umrah yang dijanjikan tidak dapat dilakukan malah wanita itu juga tidak dapat memulangkan semula wang mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, akhbar mela­porkan seramai 48 individu termasuk peneroka Felda Keratong, Rompin mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 ditipu seorang wanita dikenali sebagai ‘Kak Ton’ yang menawarkan pakej umrah.

Mangsa yang kecewa kera­na gagal ke Tanah Suci pada tarikh dijanjikan iaitu awal Disember lalu membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah.

Difahamkan, ‘Kak Ton’ adalah wakil syarikat berpangkalan di Kamunting, Perak dan syarikat itu pula beker­jasama dengan beberapa agensi umrah lain untuk menghantar individu terlibat mengerjakan umrah.

Menurut Mohd. Wazir, siasatan lanjut mendapati modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan orang ramai dengan menawarkan pakej umrah yang tidak wujud.