Eze Chimizie Kingsley, 30, dan Anayo Apakabi, 28, yang me­nuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Kuala Lumpur serta Mazni Marzuki, 46, bekerja sebagai pengemas bilik di sebuah hotel di sini membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Fauzi.

Ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama-sama menipu seorang lelaki, Law Ah Fook, 60, yang berasal dari Ipoh, mendapat kerakyatan Amerika Syarikat, untuk mempercayai akan me­nerima satu bungkusan tidak wujud sehingga mendorongnya menye­rahkan wang tunai berjumlah RM62,034.

Kesemua mereka didakwa mela­kukan kesalahan itu di No 13, Jalan 4, Housing Trust di sini, pada 12.16 tengah hari, 13 Disember 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadh­li Nurul Qistini Qamar L Abrar, manakala Eze Chimizie serta Anayo diwakili peguam Miza Hiryani Zakaria sementara Mazni diwakili peguam Matthews Jude.

Nurul Hafizah kemudian membenarkan Mazni diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala dua lelaki warga Nigeria terbabit tidak ditawarkan sebarang jaminan.

Dalam pada itu, Eze Chimizie dan Anayo turut didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan masih berada di Malaysia selepas tempoh pas pelajar masing-masing tamat pada 20 Mei 2016 dan 3 Jun 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Ko­mersil pada 1.25 tengah hari di Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama, jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah tidak menetapkan wang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh bagi pertuduhan itu dan menetapkan 12 Februari untuk sebutan semula kes. – BERNAMA