Panel tiga hakim syarie Mahkamah Ra­yuan Syariah di sini di­­ketuai Datuk Seri Dr. Md Yusup Che Teh yang bersidang bersama-sama Datuk Aidi Mokhtar dan Mukh­yuddin Ibrahim sebulat suara menolak rayuan tersebut atas alasan qazaf hanya membabitkan kesa­lahan zina dan liwat tidak boleh disamakan dengan zina.

Pada 26 Jun 2015, Anwar melalui isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR telah memfailkan aduan terhadap peguam itu di bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berikutan kenyataan Muhammad Shafee yang menuduh banduan Penjara Sungai Buloh itu melakukan liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Muhammad Shafee didakwa mengeluarkan kenyataan itu tanpa mengemukakan empat saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh se­perti diwajibkan oleh undang-undang dalam program dialog terbuka anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 17 Februari 2015.

Menurut penghakiman setebal 21 muka surat, Hakim Md. Yusup menjelaskan, berbanding Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan), perkataan liwat tidak disebutkan atau ditafsirkan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 manakala zina pula ditakrifkan sebagai hubungan seks luar nikah antara lelaki dan perempuan.

Walaupun mahkamah bersetuju dengan hujah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh yang mengatakan liwat termasuk dalam zina, namun mahkamah terikat dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Bagaimanapun, memandang­kan hari ini semakin banyak perbuatan menuduh orang lain mela­kukan liwat, maka sudah tiba masanya Pemerintah dan Badan Perundangan Negeri meminda Seksyen 36 enakmen itu bagi membolehkan seseorang yang menuduh orang lain melakukan liwat dituduh di Mahkamah Syariah,” katanya.

Sementara itu, merujuk kepada hujah Anwar yang mendakwa terdapat arahan daripada Ketua Hakim Syarie yang mengarahkan Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar aduannya berhubung tindakan Muhammad Shafee, mahkamah mendapati perayu gagal mengemukakan atau menunjukkan kewujudan arahan tersebut.

Anwar juga didapati tidak mematuhi prosedur ketika membuat aduannya memandangkan aduan tersebut sepatutnya dikemukakan terlebih dahulu kepada pegawai penguat kuasa agama yang kemudian akan merujuk kes kepada Hakim Mahkamah Rendah Syariah sebelum aduan dibuat secara bertulis dan lisan kepada hakim itu.

Jelas Hakim Md. Yusup, perayu bagaimanapun telah membuat aduan tanpa merujuk kepada pegawai penguat kuasa dan terus kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

“Oleh itu, kami bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang telah menolak aduan perayu walaupun alasan penghakiman yang diberikan adalah kurang tepat,” ujarnya.