Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, ini kerana ia memberi peluang kepada mahkamah menilai hujah dari kedua-kedua pihak dan membuat keputusan bagi pedoman kepada semua.

"Perkara ini telah berada di mahkamah dan saya tidak dapat komen kerana sub judice. Namun pendirian SPR adalah seperti yang telah saya katakan tempoh hari dalam kenyataan akhbar mengenai sahnya SPR, juga dalam Jadual 11 Seksyen 33C Perlembagaan Persekutuan.

"SPR akan pertahankan kedudukan seperti yang dinyatakan terdahulu," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Seorang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Puan Sri Sabariah Mohd. Sharif dilaporkan hari ini telah tampil mencabar keabsahan SPR yang ketika ini hanya diwakili Pengerusinya sahaja dengan mengemukakan saman pemula kepada badan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Selain SPR, saman itu juga menamakan Azhar sebagai defendan pertama dan kerajaan Persekutuan selaku defendan ketiga.

Peguam plaintif, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz memberitahu, melalui saman pemula tersebut, enam perkara dituntut dan pihaknya juga berharap mahkamah dapat bersidang bagi mendengar saman itu sebelum tarikh penamaan calon pada 16 Februari ini.

Sementara itu, Azhar menambah, beliau percaya dan yakin di atas kearifan mahkamah serta kebebasannya untuk membicarakan kes tersebut dengan sempurna mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang. - UTUSAN ONLINE