Warga Bangladesh, Md. Mohasin, 32, dan wanita rakan senegaranya, Lima Begun, 30, serta warga Indonesia, Bayu Prakasa Nasution, 23, didakwa bersama-sama telah memperdagangkan Dina Triana, 21, bagi maksud eksploitasi seks.

Kedua-dua lelaki dan wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah hotel, Jalan Bukit Bintang, di sini antara 25 September dan 27 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Md. Mohasin diwakili peguam, Norizan Yaacub manakala Bayu dan Lima tidak diwakili peguam.

Hakim Azman Ahmad tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE