Pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Zikri Zalik, 30, yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkata, M. Vishwanath, S. Nimalan dan S. Ravi Chandaran dikesan berada di sekitar kawasan Kondominium Menara Duta 2, iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat berlakunya kemalangan itu.

Menurut beliau, kemalangan antara kedua-dua buah ken­deraan tersebut berlaku pada 4 September 2015, antara pukul 7.30 pagi dan 8 pagi di kawasan berhampiran Kondominium Menara Duta iaitu tidak lama selepas mangsa keluar dari rumahnya.

“Lokasi ketiga-tiga tertuduh di kawa­san itu dikesan oleh pencawang telekomunikasi melalui rekod panggilan telefon yang di­buat mereka antara pukul 6.46 pagi dan pukul 8.05 pagi,” katanya.

Ahmad Zikri yang merupakan saksi pendakwaan ke-68 berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu.

Saksi berkenaan ber­­kata, kejadian pe­langgaran tersebut ju­ga berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Suria yang berada 300 meter dari kediaman mangsa.

“Dalam rakaman CCTV itu, dapat dilihat kereta mangsa di­ekori oleh sebuah kereta Mit­subishi Triton dari jarak dekat sebelum berlaku pelanggaran kira-kira satu kilometer dari kediaman mangsa,” katanya.

Tambah beliau, kes tersebut pada awalnya disiasat olehnya sebagai kes orang hilang sebelum diambil alih oleh pegawai pe­nyiasat lain untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pakar patologi tentera, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 54, dibi­carakan atas tuduhan bersubahat dengan lima lelaki untuk membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas Raya, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Su­bang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Lima lagi tertuduh iaitu tiga penganggur R. Dinishwaran, 25; A.K. Thinesh Kumar, 24; Vishwanath, 27; pelajar kolej, Nimalan, 24, dan pemberi pinjaman wang, Ravi Chandaran, 46, didakwa membunuh Kevin Morais, 55, pada masa, tarikh dan tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 4 September ini.