Sis memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar fatwa Negeri Selangor yang melabelkan pertubuhan itu sebagai 'sesat dan menyeleweng'.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Abu Samah Nordin menetapkan rayuan itu didengar pada satu tarikh lain.

Pemohon-pemohon dibenar berhujah dalam rayuan tersebut dengan mengemukakan lima persoalan undang-undang.

Forum Sis (Malaysia), pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim  memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharan pertubuhan itu sebagai `sesat dan menyeleweng' daripada agama Islam.

Pertubuhan itu menamakan  MAIS, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor  dan kerajaan Negeri Selangor sebagai responden-responden.

Ia memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan mana-mana pertubuhan, individu serta kumpulan yang berpegang kepada fahaman 'liberalisme' dan 'pluralisme' adalah menyeleweng daripada ajaran Islam. - UTUSAN ONLINE