Tertuduh, Tham Fook Soon, 51; Yakmin Zada Amir Zada, 44, dan Shafee Ismail, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan  secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Fook Soon didenda RM50,000 atas kesalahan menggaji lima warga China iaitu Yuan Xiaoping, Wang Cuili, Li Hong, Jiang Manxiu dan Liu Lili yang telah tinggal lebih masa di Pusat Refleksologi & Fisioterapi Cukai di Taman Cukai Utama, Kemaman pada pukul 11.25 malam, 8 Januari lalu.

Sementara itu, Yakmin Zadam, seorang warga Pakistan yang memegang kad pemastautin tetap didenda RM10,000 kerana menggaji seorang pekerja Myanmar yang tidak memiliki pas sah di kedai perabot A.Y. Hijjaz Sdn. Bhd. di Bukit Payung, Marang kira-kira pukul 12.50 tengah hari, pada 10 Januari.

Kedua-dua tertuduh didakwa melanggar peruntukan di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pekerja yang diambil bekerja.

Sekiranya melebihi lima pekerja boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali dan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.

Shafee pula yang didakwa membenarkan wanita warga Thailand berusia 23 tahun berada di Restoran Roti Tempayan & Tomyam di Taman Paka Perdana, Dungun pada 12.55 tengah malam, 9 Julai, didenda RM5,000.

Dia didakwa di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran yang ditemui di dalam premis.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu Nur Hidayah Ramley.

Di mahkamah yang sama, dua lagi majikan, Mujahida Abdullah, 28, dan Nurul Suhada Muhammad, 29,  mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggaji pekerja asing dan melanggar syarat pas ditetapkan.

Kedua-duanya dikenakan ikat jamin RM15,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin, dan hakim menetapkan 25 Februari depan bagi sebutan semula kes di Mahkamah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), Ajil.-UTUSAN ONLINE