Tertuduh, Liew Kah Chun, 27 dan Chip Weng Sang, 45, bagaimanapun mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret
Noorhidayah Mohd. Saad.


Mengikut pertuduhan, Kah Chun dan seorang remaja berusia 16 tahun didakwa memiliki tatu lambang kongsi gelap Wah Kee ‘Geng 04/18’ pada pergelangan tangan kiri.


Manakala Weng Sang didapati menggunakan papan tanda Pertubuhan Kemakmuran Si Gong Malaysia Cawangan Sungai Siput tanpa kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.


Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pertubuhan Kemakmuran Si Gong Malaysia Cawangan Sungai Siput, Persiaran Lintang Makmur 9, Taman Lintang Makmur Sungai Siput pada pukul 4.15 petang pada 25 Jun lalu.


Pertuduhan terhadap Kah Chun yang merupakan pekerja hotel dikemukakan mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000.


Weng Sang pula dituduh mengikut Seksyen 50(3) akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM3,000.


Majistret Noorhidayah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan RM1,000 terhadap Kah Chun dan Weng Sang selain berdepan hukuman penjara 12 bulan dan sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.


Bagi remaja berusia 16 tahun itu pula, prosiding yang dijalankan secara tertutup akan disebut semula 27 Julai ini selepas tiada ahli keluarga remaja terbabit hadir dan membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin kepadanya.


Kesemua mereka antara 23 individu yang ditahan dalam serbuan Ops Cantas di sebuah premis di Persiaran Lintang Makmur 9, Taman Lintang Makmur, Sungai Siput Ahad lalu. - UTUSAN ONLINE