Tertuduh, Muhamad Nuurul Amin Azizan, 27, dan rakannya Muhammad Syazani Mahzan, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Othman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Nuurul Amin yang bekerja sebagai petani bersama Muhammad Shazani, seorang penjual burger, didakwa telah pergi ke Jogjakarta melalui Jakarta, Indonesia dengan niat melakukan perbuatan pengganas.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pukul 6.55 pagi, 26 April tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman mengikut Seksyen 130 JA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, kedua-dua tertuduh disenaraikan sebagai individu dikehendaki.

Sementara itu di mahkamah berasingan, seorang pekerja restoran, Hafiz Othman, 41, didakwa dengan niat pergi ke Mesir bagi melakukan aktiviti pengganas, 17 Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa pergi ke Sinai melalui Kaherah, Mesir bagi tujuan melakukan perbuatan tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 6.05 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan dibacakan oleh Rohaiza di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said mengikut akta sama.

Mahkamah menetapkan 11 Julai ini bagi sebutan semula kesemua kes. - UTUSAN ONLINE