Tertuduh, Wong Mun Fai dan Tan Chun How, masing-masing berusia 27 tahun serta Ng Yoke Soon, 44, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh lelaki itu didakwa membunuh Heng Wei Yong, 21, di laluan masuk ke ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Banjar di sini pada pukul 12.05 tengah malam hingga 12.30 tengah malam 15 November lalu.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail.

Peguam bela Datuk Naran Singh mewakili Mun Fai manakala Chun How diwakili V. Santhiran.

Tertuduh Yoke Soon pula tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 11 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pada 16 November lalu, mayat seorang lelaki ditemukan rentung di bahagian tempat duduk hadapan sebuah kereta yang dipercayai dibakar di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Banjar di sini.

Mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibawa ke kawasan tersebut untuk dibakar bagi menghapuskan bukti. - UTUSAN ONLINE