Aizz Amidie Aziz, 23; Mohd. Rizalman Awang, 27, dan Zahaman Fairol Awang, 30, mengangguk tanda faham sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Mengikut pendakwaan, semua tertuduh bersama-sama dua yang masih bebas pada 21 Jun lalu antara pukul 4.40 petang hingga 5.15 petang di kawasan paya di tanah lapang kampung itu dengan niat bersama menyebabkan kematian ke atas Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der, 22.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Noor Nadzri Nik Soh.

Majistret menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula bagi laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan Nik Mohamad Sharulanuar yang cedera parah, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat diserang selepas dituduh membakar motosikal milik anggota keluarga salah seorang tertuduh. - UTUSAN ONLINE