Ketiga-tiganya menghadapi pertuduhan bersubahat dengan Mohamad Fitri Fauzi mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hakim Ravinthran N. Paramaguru semasa membuat keputusan itu di mahkamah yang penuh sesak berkata, tiada satu pun daripada keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang mengaitkan penglibatan ketiga-tiga tertuduh sehingga membawa kepada pembunuhan Bill Kayong.

“Saya melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan bersubahat,” katanya semasa menyampaikan penghakiman lisannya selama kira-kira 15 minit mulai pukul 11.30 pagi hari ini.

Chang Loon, 38, yang merupakan pemilik pub; Wui Ching, 51, pembantu peribadi kepada Chee Kiang dan ahli perniagaan berumur 46 tahun itu dilihat tenang semasa hakim menyampaikan keputusan itu.

Bagi Fitri pula, mahkamah memerintahkan lelaki yang be­kerja sebagai bouncer itu membela diri terhadap pertuduhan membunuh Bill Kayong selepas mendapati pihak pendakwaan telah menyediakan keterangan mencukupi untuk membuktikan pembabi­tannya.

Fitri, 30, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, hanya mengangguk faham selepas jurubahasa memberikan penjelasan berhubung keputusan hakim itu.

Mahkamah menetapkan 14 hingga 16 Jun untuk prosiding bela diri itu.

Bill Kayong atau nama Islam­nya Mohd. Hasbie Abdullah ditembak mati di persimpangan lampu isyarat dekat E-Mart Supermarket di jalan pintas Tudan, Miri-Kuala Baram pada kira-kira pukul 8.20 pagi, 21 Jun 2016.