Kesemua mereka direman sehingga 30 April ini bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri ini.


Perintah tahanan reman terhadap penguat kuasa gred 19 hingga 32 itu dikeluarkan Majistret L. Umma Devi di Mahkamah Majistret, di sini kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.


Difahamkan, dua daripada mereka adalah penguat kuasa JPJ negeri dan JPJ Perlis manakala seorang lagi bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


Dipercayai, penguat kuasa JPJ yang kini bertugas di Perlis tersebut sebelum ini merupakan anggota SPAD.


Mereka merupakan sebahagian daripada seramai 20 penguat kuasa JPJ yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini semalam bagi membantu siasatan kes sama.


Proses siasatan dan tahanan reman itu adalah fasa ketiga selepas 46 anggota JPJ dipanggil SPRM negeri untuk memberi keterangan kes sama sejak minggu lalu.


Rabu lalu, 23 daripada 24 anggota penguat kuasa JPJ berkenaan dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan.


Ia diikuti dengan seramai 22 anggota penguat kuasa lagi yang dipanggil memberi keterangan Sabtu lalu sebelum lima daripada mereka termasuk orang awam direman sehari kemudian.


Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000. - UTUSAN ONLINE