TIGA lelaki termasuk seorang bergelar Datuk mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memperdayakan sembilan individu berhubung pembayaran kos pindah milik hartanah bernilai hampir RM700,000, enam tahun lalu di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ

Datuk Nor Hasnal Hashmi, 49, Sayyid Walid Hasuana, 31, Mohd. Rozali Rajiei, 48, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Nor Hasnal bersama-sama Sayyid Walid didakwa atas lima pertuduhan memperdayakan lima individu untuk mempercayai mereka akan memindah milik lot-lot tanah kepada nama mangsa bagi pembinaan kediaman.

Tindakan kedua-dua tertuduh itu mendorong mangsa-mangsa menyerahkan wang sebanyak RM455,512 kepada syarikat Masgenuine Alliance Holding Sdn. Bhd. sebagai bayaran untuk urusan pindah milik itu sedangkan tanah-tanah tersebut tidak wujud.

Nor Hasnal turut didakwa bersama-sama Mohd. Rozali atas empat pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap empat individu sehingga mendorong mereka menyerahkan wang sebanyak RM233,669 kepada Darul Hebat Holdings Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dua buah syarikat berkenaan di Bandar Baru Selayang, Gombak antara 16 Januari 2012 dan 6 November 2015.

Pertuduhan terhadap semua lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM230,000 terhadap Nor Hasnal manakala RM130,000 bagi Sayyid Walid dan RM100,000 terhadap Mohd. Rozali.

Bagaimanapun peguam-peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Saleh Ahmad yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guam mereka penanggung keluarga dan telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan Nor Hasnal diikat jamin RM72,000 manakala Sayyid Walid (RM48,000) dan Mohd. Rozali (RM26,000) masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Rasyihah turut menetapkan syarat tambahan iaitu pasport semua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis dua kali sebulan serta dilarang mengganggu mangsa dan ahli keluarganya.