Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan cuba me­rasuah anggota polis dengan nilai suapan antara RM30 hingga RM1,000 melibatkan pelaku terdiri daripada warga Bangladesh, Pakistan dan Kemboja.

Pertuduhan dikemukakan me­ngikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Di SHAH ALAM, warga Bangladesh, Ali Islam Sheikh, 47, dijatuhkan hukuman dijel dua bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba memberi rasuah RM1,000 kepada seorang anggota polis, Khamis lalu.

Hakim Rozilah Salleh memberitahu tertuduh bahawa rasuah merupakan satu kesalahan yang serius di negara ini walaupun nilai suapan adalah kecil.

Tertuduh yang bekerja sebagai jurukimpal juga diperintahkan mahkamah menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Ali didakwa cuba memberi suapan wang tunai itu kepada Sarjan Mohd. Affiq Shahmey Ahmad Akhir yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sebagai dorongan untuk membebaskan rakannya, MD Ratan Sheikh yang ditahan kerana permit kerja tamat tempoh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazirah Azeman manakala tertuduh diwakili peguam, Fairuz Arsyad.

Di ALOR SETAR, seorang peniaga karpet dan pakaian, Jaibim Daggar, 53, yang berketurunan Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba memberi rasuah RM100 kepada seorang anggota polis supaya tidak dikenakan tindakan kerana memandu tanpa lesen dan tidak memakai tali pinggang keledar, minggu lalu.

Hakim Najwa Che Mat tidak membenarkan bapa kepada lima anak itu diikat jamin dan menetapkan 17 April ini untuk fakta kes dikemukakan sebelum hukuman dijatuhkan.

Jaibim didakwa cuba memberi suapan wang tunai RM100 kepada Lans Koperal Mohd. Wira Romli dari Balai Polis Kulim Hi-Tech, Kulim sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan memandu kereta Perodua Kancil bernombor pendaftaran KBN 5034 tanpa lesen dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di KUANTAN, seorang penjaja warganegara Kemboja, El Fa Ilin, 38, dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM30 kepada seorang anggota polis, minggu lalu.

Tertuduh didakwa cuba menyogok anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Lans Koperal Sokongan Mohd. Zulkhairi Mat Zin yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas ditahan kerana menunggang motosikal tanpa le­sen dan pas lawatan tamat tempoh.

Bapa kepada dua anak itu yang memasuki negara ini sejak 2015 didakwa melakukan kesalahan berkenaan di tepi jalan dekat sebuah sekolah memandu di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Su­ngai Soi di sini kira-kira pukul 11.10 pagi, 7 April lalu.

Hakim Datuk Habibah Moha­med Yusoff turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut. El Fa dihantar ke penjara setelah gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mahadi Abdul Jumaat.