Pasangan suami isteri terbabit, N. Selvaretnam, 71, dan N. Lilapathi, 61, dituduh secara bersama menerima wang berjumlah RM138,517.30 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui akaun semasa milik Nalliannan Son’s yang mana mereka adalah indvidu mengawal syarikat tersebut, di Mahkamah Sesyen 2 di sini, hari ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 7 Januari 2016 hingga 1 Jun tahun lalu di Public Bank Berhad, Cawangan Kuala Ketil.

Sementara itu anak pasangan terbabit, S. Murukesan, 40, berdepan tiga pertuduhan mengikut AMLATFAPUAA di mahkamah sama melibatkan wang berjumlah RM12,905 yang merupakan hasil aktiviti haram dari dua syarikat berbeza iaitu Infinity Alloy Wheels Specialist Sdn. Bhd. dan Eurolatex Sdn. Bhd.

Wang tersebut didakwa diterima menerusi akaun semasa milik Nali Venture yang mana dia merupakan individu mengawal syarikat tersebut pada 8 September 2015, antara 2 Februari 2016 hingga 4 April 2016 dan antara 7 April 2016 hingga 15 Jun 2016.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUAA yang dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Jika sabit hukuman, mereka boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan atau RM 5 juta, bergantung yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara, Muhamad Anas Mahadzir di depan Hakim, N. Priscilla Hemalini sementara kesemua tertuduh diwakili peguam, M. Kamiini.

Selain pertuduhan-pertuduhan itu, ketiga-tiga mereka turut berdepan lapan pertuduhan di bawah Akta Kawalan Barangan 1961 yang dijalankan di mahkamah sama serta Mahkamah Sesyen 4. - UTUSAN ONLINE