Rohaida Yahil, 41, yang merupakan bekas eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat insurans didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad cawangan Ampang Point miliknya, melalui transaksi berjumlah RM3,400 daripada akaun simpanan Maybank milik Khuzairiah Abdul Latiff, 40.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, Rohaida didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad miliknya daripada Khuzairiah dan Mohd. Ghazali Othman, 45, melalui 284 transaksi berasingan membabitkan jumlah RM2,838,290.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di CIMB Bank cawangan Ampang Point, No.23, Jalan Mamanda 7/1, Wisma Ampang Triangle, Jalan Ampang, di sini antara 28 Ogos 2014 hingga 22 April 2016.

Tujuh pertuduhan itu dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsul Sulaiman.

“Selepas dijatuhi hukuman untuk kes sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan untuk hukumannya ditambah ke atas tertuduh. Rohaida pada asalnya berpuas hati dengan hukuman yang ditetapkan namun di­sebabkan ada rayuan untuk menambah hukuman maka tertuduh perlu menimbang balik keputusannya bagi kes ini,” kata Shamsul.

Hari ini telah ditetapkan untuk jatuh hukum dan fakta kes bagi lapan pertuduhan yang dihadapinya setelah wanita itu mengaku bersalah sebelum ini. Dia yang kelihatan tenang sempat bersalaman dengan beberapa ahli keluarganya sebelum dibawa keluar dari mahkamah.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 14 Mac lalu, Rohaida dihukum penjara tiga tahun dua bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang setelah mengaku bersalah atas 53 pertuduhan menipu Datuk Dr. Abdul Jalil Jidon, 60, membabitkan kerugian RM1.2 juta, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah Yang Amat Mulia Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah, tiga tahun lalu.

Wanita itu sedang menjalani hukuman penjara tersebut yang kesemuanya berkuat kuasa mulai tarikh tangkap pada 13 Mac lalu.