Nasrul Arman Ahmad, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas hampir setengah jam jurubahasa membacakan 29 pertuduhan meliwat dan melakukan seks oral serta sembilan pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap pelajar-pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara Julai 2017 hingga Februari lalu, antara waktu petang dan awal pagi terhadap 10 mangsa berusia antara 12 dan 17 tahun yang merupakan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Enam daripada mangsa melibatkan kesalahan liwat dan seks oral manakala bakinya adalah untuk kesalahan gangguan seksual.

Tertuduh yang bertubuh kecil dan memakai kemeja T warna kelabu itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di ruang tamu rumahnya di Taman Selamat, Jalan Teluk Sisek di sini dan di pusat tahfiz tersebut termasuk di dalam surau.

Sebanyak 29 pertuduhan meliwat dan seks luar tabii dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan manakala bakinya di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nadzri yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap Nasrul Arman kerana tertuduh mengenali rapat semua mangsa serta bimbang lelaki itu akan mengganggu mangsa-mangsa kes tersebut.

Namun beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk menentukannya.

Peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah membenarkan jaminan dan anak guamnya bersedia jika diberikan syarat tambahan untuk tidak mengganggu mangsa.

“Adalah tidak adil jika tertuduh tidak diberikan jaminan kerana seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan. Pihak pendakwaan juga membuat spekulasi dengan menganggap anak guam saya akan mengganggu mangsa,” katanya.

Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM380,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati semua mangsa selain menetapkan sebutan kes pada 23 April ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, tertuduh ditahan pada 12 Mac lalu selepas tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berhubung perbuatan di luar tabii lelaki tersebut.