Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Datuk P. Nalini dan Datuk Mary Lim Thiam Suan menangguhkan prosiding bagi membolehkan beliau menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang yang gagal bertanding pada PRU-14 bulan lalu, memohon kesahihan daripada jabatan itu sama ada Ahli Parlimen yang telah disabitkan sepertinya, boleh bertanding atau sebaliknya.

Peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar yang mewakilinya berkata, pihaknya akan menghantar representasi bagi mendapat kepastian sama ada seorang Ahli Parlimen yang telah didenda RM2,000 berhak bertanding dan diterima sebagai calon.

Ini kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan denda RM2,000 tidak menjejaskan hak atau status atau membuatkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Tian Chua terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula bagi mencabar keputusan SPR menolak pencalonannya untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Batu pada PRU-14 lalu. - UTUSAN ONLINE.