Mahkamah menyatakan demikian selepas membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan sehingga tiga rayuan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan) didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. 

"Tiada taktik melengah-lengahkan kes oleh perayu," kata Datuk Zabariah Mohd. Yusof yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan penangguhan itu hari ini. 

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah, pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu. 

Mahkamah Rayuan sebelum itu memutuskan menolak tiga rayuan interlokutori bekas Perdana Menteri itu dalam kes pecah amanah dan salah guna kedudukan membabitkan syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Tiga rayuan interlokutori itu membabitkan permohonan Najib untuk mendapatkan perintah bagi melarang media dan orang ramai daripada membincang dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kes dihadapinya. 

Rayuan itu juga berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen siasatan termasuk pernyataan saksi sebelum perbicaraan kes SRC International bermula dan rayuan mengenai tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan itu  bagaimanapun membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan surat pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah bagi mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan.

Mahkamah dengan itu mengarahkan pendakwaan mengemukakan surat pelantikan Sulaiman dalam masa tiga hari.

Bagi tiga rayuan yang ditolak itu, panel membuat keputusan sebulat suara selepas mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat kesilapan apabila menolak permohonan Najib.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa tiada keperluan untuk mahkamah  masuk campur terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee ketika ditemui berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan petang ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. 

"Mahkamah berpendapat, dari segi fiat (surat pelantikan) dia  (pihak pendakwa) kena bagi kita.

"Yang tiga lagi itu, mahkamah tidak bersetuju dengan kita, tapi mahkamah bersetuju sebab perkara ini dia kata ada isu yang amat ketara. Jadi  kita akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan dan kes tidak akan berjalan sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan. 

"Tapi mahkamah kata penangguhan ini bukan 'delay tactic' (taktik melengah-lengahkan) sebab ada isu yang ketara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram memberitahu, pihaknya akan turut membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. 

"Kita akan membuat rayuan secepat mungkin kerana kita meminta supaya kes tidak ditangguhkan," katanya. 

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga akan meneliti keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pelantikan Sulaiman. 

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC.

Beliau kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama. - UTUSAN ONLINE