“Saya berpendapat beliau perlu hadir. Sekiranya tiada bantahan, kami boleh pertimbangkan namun adalah lebih baik tertuduh hadir dan mengikuti sendiri prosiding,” ujarnya hari ini.

Terdahulu, peguam terkemuka yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Sulaiman Abdullah bagi mengendalikan kes berkaitan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) juga menyu­arakan pendapat sama berikutan kes yang dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu amat serius.

Muhammad Shafee membuat permohonan pengecualian keha­diran ke mahkamah terhadap Najib, 65, untuk prosiding pengurusan kes pada 29 November ini.

Pada tarikh tersebut juga, mahkamah akan mendengar permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan dokumen mengandungi keterangan saksi-saksi yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 4 Julai dan 8 Ogos lalu, Najib didakwa atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram yang dikaitkan dengan dana syarikat SRC International, empat tahun lalu.

Pada prosiding sama, Sulaiman memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan 29 jilid dokumen kepada pembelaan sebagai memenuhi keperluan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau turut memberitahu pihak-pihak terlibat kini me­nunggu keputusan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim berhubung permohonan pihak pendakwaan agar perbi­caraan kes membabitkan SRC International dijalankan di Istana Kehakiman (POJ), Putrajaya.

Sementara itu, pada awal prosiding, Hakim Nazlan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bi­lion dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi bagi memudahkan proses keadilan.