Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mesej yang sedang ditularkan melalui platform media sosial kepada orang awam yang menyatakan bahawa mahkamah telah memerintahkan larangan merokok di tempat makan ditangguhkan adalah tidak benar.

“Adalah diingatkan kepada semua pihak agar terus mematuhi peraturan ini dan kementerian akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan pendidikan sehingga Jun 2019.

“Ini akan diikuti dengan penguatkuasaan sepenuhnya pada Julai 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketika ini tular kononnya larangan merokok di tempat makan yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu ditangguhkan berikutan sekumpulan perokok berjaya memperoleh kebenaran bagi mencabar larangan tersebut pada Selasa lalu.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan untuk menggantung penguatkuasaan larangan itu atas alasan mahkamah tidak berhak menggantung mana-mana keputusan membabitkan operasi perundangan.

Dr. Noor Hisham berharap semua lapisan masyarakat menerima pelaksanaan larangan merokok itu sebagai langkah positif bagi meningkatkan tahap kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan ini juga dapat membudayakan amalan tidak merokok terutama di kalangan kanak-kanak dan remaja, selaras dengan hasrat kerajaan bagi mencapai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan larangan merokok di tempat makan dibuat selaras dengan komitmen Malaysia kepada Artikel 8, Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap produk tembakau dan rokok. -UTUSAN ONLINE