Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

DOAN Thi Huong dibawa keluar oleh anggota polis selepas dituduh 3
DOAN THI HUONG dibawa keluar oleh anggota polis selepas dituduh membunuh Kim Jong-nam di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor semalam. utusan/Hafiz Johari

SEPANG 1 Mac - “I understand but I no killing. (Saya faham tapi saya tidak bunuh).”

Itu kenyataan pertama warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, selepas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Korea Utara, Kim Jong-nam, dibacakan ke atasnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini oleh jurubahasa dalam bahasa ibundanya.

‘Pengakuan’ tersebut bagaimanapun tidak direkodkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret kerana sebarang pengakuan dalam kes membabitkan hukuman mati mandatori hanya boleh dibuat dan diterima di peringkat Mahkamah Tinggi.

Selepas diterangkan beberapa kali oleh jurubahasa, wanita itu akhirnya mengangguk dan menjawab “Faham” dalam bahasa Vietnam.

Mengikut pertuduhan, Thi Huong yang diwakili peguam bela, S. Selvam didakwa bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas membunuh Jong-nam di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada 16 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa Kim Chol adalah Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan mempunyai dua identiti sah dari negara ber­kenaan.

Terdahulu, warga Indonesia, Siti Aishah, 25, turut mengangguk dan menjawab “Faham” dan “Ngerti” selepas pertuduhan serupa dibacakan ke atasnya dalam bahasa Indonesia.

Turut hadir sepanjang prosi­ding tersebut ialah Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Andreano Erwin dan Konsular Indonesia, Yusron B. Ambary serta Timbalan Ketua Misi Kedutaan Vietnam, Ton Thi Ngoc Huong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 24 Februari lalu berkata, bahan kimia ‘Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate’ atau Agen Saraf VX telah disapu ke muka Jong-nam oleh dua orang wanita yang menghampirinya ketika sedang transit untuk menaiki pe­nerbangan ke Macau.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan mahkamah pihaknya memerlukan masa kira-kira satu bulan setengah untuk mengumpulkan semua dokumen berkaitan seperti laporan kimia, bedah siasat dan asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.

Peguam bela utama kepada Siti Aishah, Gooi Soon Seng tidak membantah permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Namun beliau memohon agar satu sekatan atau perintah membisu (gag order) dikenakan terhadap pihak polis atau mana-mana individu yang berpotensi menjadi saksi daripada memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Peguam terbabit menjelaskan, sebarang kenyataan yang dibuat pada peringkat ini adalah subjudis dan boleh menyebabkan Siti Aishah kelihatan seolah-olah telah didapati bersalah dan akan menjejaskan peluang terhadap anak guamnya untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil.

Harith Sham selepas membenarkan permohonan tersebut menetapkan 13 April ini bagi sebutan semula kes.

Pembunuhan Jong-nam itu turut menjadi perhatian dunia kerana melibatkan mereka yang berprofil tinggi terma­suk agensi perisikan antarabangsa.

Kes tersebut turut menyebabkan hubungan Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang ekoran kenyataan wakil kedutaan mereka di negara ini yang disifatkan sebagai tidak diplomatik.

Korea Utara bukan sahaja menafikan pembabitan mereka dalam kes tersebut malah menolak siasatan pihak berkuasa Malaysia dalam kes pembunuhan itu.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain