Warga Vietnam itu, Doan Thi Huong, 28, kemudian dibawa oleh anggota polis KLIA2 ke balai polis lapangan terbang itu sebelum diserahkan kepada pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada hari sama.

Inspektor Husny Hussein yang kini bertugas sebagai Pegawai Turus Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di IPD sama memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau dan pasukannya kemu­dian telah mengambil wanita itu di lapangan terbang tersebut untuk dibawa ke IPD.

“Saya terima maklumat daripada anggota polis KLIA2 bernama Suriani yang memaklumkan mereka telah membawa seorang wanita Vietnam yang dipercayai terlibat dalam kes seorang lelaki Korea Utara yang diserang oleh dua wanita sehingga menyebabkan kematian.

“Mereka (anggota polis balai polis KLIA2) tidak menahan wanita itu sebaliknya hanya mengambil Thi Huong dan membawa ke balai polis lapangan terbang itu. Saya dan anggota pasukan menahan wanita itu dan membawanya ke IPD Sepang,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad.

Setibanya di IPD Sepang, Thi Huong kemudian dibawa oleh seorang pegawai polis untuk pemeriksaan di tempat tertuduh itu menginap, tambahnya.

Saksi tersebut berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Siti Aisyah, 25, dan Thi Huong yang didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat individu yang masih bebas di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februa­ri lalu.