Wanita berusia 28 tahun itu juga tidak menunjukkan sebarang reaksi gusar atau khuatir ketika mengambil pakaian terbabit dari longgokan pakaian dan menunjukkan kepada pihak polis serta forensik ketika pemeriksaan dijalankan di bilik penginapan­nya bernombor 410, Hotel Sky Star, Sepang pada 15 Februari lalu.

Perkara-perkara tersebut dicadangkan oleh peguam bela tertuduh, Hisyam Teh Poh Teik kepada Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintenden Nasrol Sain Hamzah, 38, pada perbi­caraan kes bunuh Jong-nam di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Selain bersetuju dengan cadangan yang dinyatakan terdahulu, saksi berkenaan juga bersetuju dengan Hisyam bahawa Thi Huong ada memberitahunya sewaktu ditemu bual bahawa tujuan dia ke negara ini adalah untuk membuat penggambaran video ‘mengenakan seseorang’ (prank video).

Bagaimanapun saksi pendakwaan ke-24 itu tidak setuju dengan cadangan peguam terbabit bahawa pakaian tersebut tidak disorokkan.

Pegawai polis itu ber­kata demikian dalam perbicaraan terhadap Thi Huong dan tertuduh pertama, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, yang didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat individu yang masih bebas di Balai Berlepas KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-23 hari ini melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menjelaskan perkara tersebut sewaktu pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Ne­geri, Muhamad Iskandar Ahmad, saksi berkenaan memberitahu, kemeja T ‘LOL’ dan gaun itu asalnya bercampur-aduk dengan pakaian yang lain.

“Jika dirujuk gambar 14 dan 15, gambar ini menunjukkan kemeja T ‘LOL’ dan gaun itu yang telah diambil oleh tertuduh kedua (Thi Huong) dan diletakkan semula di atas longgokan pakaian untuk proses tandaan oleh forensik. Tetapi gambar 10 merupakan keadaan sebelum kemeja T ‘LOL’ dan gaun diambil dan semua pakaian bercampur-aduk,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung pada 22 Januari 2018.