MEHAMAD SALMI CHE KOB

Mehamad Salmi Che Kob, 35, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Che Kob Husin, 66, di dapur rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Kuala Besar di sini, kira-kira pukul 10 pagi, 5 April lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Mengikut pertuduhan, Meha­mad Salmi didakwa dengan se­ngaja menyebabkan kece­deraan parah terhadap ayah kandungnya itu dengan memukul mang­sa menggunakan tukul dan me­netak menggunakan pisau pe­motong da­ging.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Ra­ya, Hajarul Falena Abu Bakar mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebatan.

Difahamkan, mangsa masih berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Pe­rempuan Zainab II. Akibat kejadian itu, mata sebelah kanan mangsa terpaksa dibuang selepas terkena jangkitan kuman.

Tertuduh dikatakan mu­la mengalami teka­nan semasa belajar dalam bidang Usuluddin di sebuah universiti swasta namun tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Akhbar pada minggu lalu melaporkan mang­sa cedera parah selepas dipukul dan diserang oleh anak kandungnya sendiri akibat perselisihan faham.