Mohd. Nazrin Rabuan, 21, merupakan individu pertama dihukum di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dikuatkuasakan tahun ini.

Pemuda itu didakwa melakukan sentuhan fizikal tanpa persetubuhan de­ngan memeluk pelajar tingkatan tiga itu dari belakang di sebuah hotel di Jalan Puteri 2/2, Bandar Puteri Puchong, Puchong, dekat sini antara pukul 3 pagi dan 5 pagi, 20 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Hakim Yong Zarida Sazali memerintahkan tertuduh dihukum penjara mulai tarikh tangkap pada Isnin lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nordalina Ali yang mengendalikan pendakwaan sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh merupakan pesalah pertama yang didakwa mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut fakta kes, mangsa mengenali kawan tertuduh melalui aplikasi WeChat dan pada hari kejadian, mangsa telah mengikuti kenalannya dan tertuduh bermalam di sebuah hotel.

Kira-kira pukul 3 pagi, mangsa telah menangis dan meminta dihantar pulang sebelum tertuduh datang memeluk mangsa dari belakang.