Pang Lian Por, 47, dijatuhkan hukuman itu setelah dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kesemua lima pertuduhan yang dihadapinya. Dia sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 15 Jun lalu.

Hakim Shahrizat Ismail menjatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan. Lelaki ter­babit membayar denda berkenaan.

Dalam keputusannya, Shahrizat berkata, hukuman denda maksimum itu dijatuhkan selepas mahkamah meneliti fakta kes dan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap kesan tindakan tertuduh kepada masyarakat dan alam sekitar.

Bagaimanapun, katanya, mah­kamah tidak mengenakan hukuman penjara selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan kekesalan serta kerugian yang dialami lelaki terbabit.

“Setelah membuat pertimbangan, mahkamah menetapkan hukuman denda maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga mereka yang masih melakukan aktiviti yang sama,” tegas beliau.

Berdasarkan kelima-lima pertuduhan itu, Lian Por didakwa melakukan perbuatan menduduki, memotong, menanam, membina dan membersihkan tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di hadapan insinerator di Kampung Raja Sungai Ikan, Mukim Telom, Cameron Highlands kira-kira pukul 10.30 pagi, 11 Di­sember tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 425(1)(a) dan 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga setahun bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ellyna Othman yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas Lian Por selepas mengambil kira kesan tindakan pencerobohan haram yang dilakukan tertuduh terhadap kepentingan awam dan alam sekitar.

Malah kata beliau, pe­­­­­­ne­rokaan haram yang berlaku juga menyebabkan pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat dan negara termasuklah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Jadi saya memohon hukuman sedemikian sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga orang awam,” katanya.

Peguam Choy Kam Yee yang mewakili tertuduh pula memohon agar hukuman ringan dijatuhkan memandangkan tertuduh yang mempunyai tiga orang anak telah mengaku bersalah dan mengalami kerugian yang besar.

Menurutnya, anak guamnya yang telah lebih 10 tahun menjalankan aktiviti pertanian telah memohon Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di kawasan berkenaan yang terletak bersebelahan kawasan yang telah mendapat kelulusan TOL.