A.K. Thinesh Kumar, 25, juga menafikan perbuatan mereka yang minum arak sehingga mabuk adalah untuk memberi keberanian bagi melakukan pembunuhan terhadap Kevin Morais.

Dalam keterangannya, tertuduh itu memberitahu telah minum 24 tin minuman keras di sebuah padang bersama M. Vishwanath, 28, S. Nimalan, 25, dan R. Dinishwaran, 26, pada 3 September 2015 sehingga pukul 4 pagi keesokannya.

“Saya mula minum minuman keras sejak berusia antara 20 atau 21 tahun dan pada 3 September itu bukan kali pertama saya minum banyak.

“Sebelum ini pernah berlaku seperti itu. Masa itu saya bekerja dan saya minum pada waktu malam,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika pemeriksaan balas dalam perbicaraan peringkat bela diri yang masuk hari keempat di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sementara itu, ketika pemeriksaan utama oleh peguam V. Rajehgopal yang mewakili Thinesh Kumar, saksi pembelaan ketiga itu memberitahu dia tidak menyedari kenderaan Mitsubishi Triton yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan pada 4 September 2015 kerana tertidur.

Biarpun dia duduk di bahagian depan sebelah pemandu, dia langsung tidak menyedari kejadian tersebut sehingga diberitahu oleh dua tertuduh lain pada petang kejadian.

“Selepas minum minuman keras, kami pergi sarapan di kedai berhampiran dan ketika itu, S. Ravi Chandaran, 47, dan G. Gunasekaran, 49, yang dikenali sebagai Jay sudah berada di situ. Selepas makan, kami ingin pulang ke hotel, bagaimanapun Jay mengajak kami untuk mengekorinya.

“Masuk sahaja ke dalam kereta, saya terus tertidur kerana sangat keletihan. Saya tahu kemalangan itu pun selepas diberitahu oleh Vishwanath dan Dinishwaran,” katanya.

Kelima-lima tertuduh itu didakwa bersama-sama pakar patologi tentera, Dr. R. Kunaseegaran, 55, membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Su­bang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 7 Mac ini. - UTUSAN ONLINE