Perkara tersebut dilakukan di Aras 3 di kawasan zon hijau lapangan terbang tersebut, ujar saksi pendakwaan kesembilan, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 39, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pegawai Penyiasat Kanan dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA itu memberitahu, terdapat perbezaan yang ke­tara antara tingkah laku tertuduh tersebut dengan ke­lakuannya pada hari kejadian iaitu 13 Februari lalu, perbuatannya dilihat lebih agresif dan seperti sedang melakukan se­rangan.

“Tindakan Thi Huong ketika melakukan ‘sesuatu’, saya da­pati dia menghampi­ri orang awam yang te­lah di­pilih secara rawak dan kemudian menyapu sesuatu ke muka orang tersebut dari arah belakang secara lembut.

“Apabila orang tersebut berpa­ling ke arahnya, Thi Huong seolah-olah meminta maaf dengan cara menundukkan kepala sedikit sambil merapatkan kedua-dua belah tangannya sebelum berundur dan beredar.

“Setelah saya perhatikan rakaman-rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada, saya dapati perbezaan yang amat ketara iaitu dari segi tindakan yang dilakukan ke atas mangsa semasa hari kejadian agak kasar seperti serangan.

“Bagi saya tindakan tersebut agak agresif dan Thi Huong berjalan secara laju dan tergesa-gesa,” kata Wan Azirul Nizam sewaktu pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili pihak pendakwaan.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan hari keenam terhadap warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap ke­dua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Wan Azirul Nizam memberitahu, selain merakamkan percakapan saksi-saksi pendakwaan dan pakar, dia turut me­rakam percakapan Thi Huong dan Siti Aisyah.

Saksi tersebut juga membuat siasatan berdasarkan rakaman percakapan kedua-dua tertuduh.

“Saya menyiasat mengenai perbezaan di antara kesemua rakaman CCTV untuk buat perbandingan bagi membuktikan sama ada ke­dua-dua tertuduh mempunyai niat untuk melakukan kejadian bunuh tersebut,” ujarnya.

Selain merakamkan percakapan tertuduh, dia turut mengumpulkan sebanyak 23 keping cakera video digital (DVD) yang mengandungi rakaman CCTV di KLIA2.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.