Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi di Hospital Sungai Buloh, Dr. Lim Wee Leong, 59, berkata, pendapatnya itu adalah berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan keadaan pesakit terlalu lemah semasa menerima rawatan sehingga mengalami masalah pernafasan dan menyebabkan doktor yang merawatnya memberikan bantuan.

“Ketika pesakit mula masuk ke dalam bilik rawatan, dia dilihat dalam keadaan baik namun keadaannya semakin lemah pada akhir proses rawatan.

“Walaupun rakaman video yang ditayangkan itu tidak mempunyai audio namun berdasarkan pemerhatian saya melalui perilaku pesakit, saya pasti dia telah diberikan dos pelali yang berlebihan,” katanya ketika menjawab soalan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd. Saad.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan hari kelima terhadap pusat pakar pergigian, Imperial Dental Specialist Centre Sdn. Bhd. yang menghadapi sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.

Menurut saksi pendakwaan keenam itu, pesakit telah tersandar dan kakinya dilihat terjuntai dari kerusi rawatan menerusi video yang ditayangkan selama enam minit di mahkamah tersebut.

Pusat pakar pergigian itu didakwa atas tujuh pertuduhan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan dua pertuduhan di bawah Peraturan 49(7) dan 245(6)Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Antara kesalahan yang didakwa dilakukan pusat pakar pergigian itu yang diwakili pengarahnya, Dr. Wong Yen Ling adalah gagal memastikan Dr. Ting Teck Chin iaitu orang yang memberikan perkhidmatan anestesia terhadap mangsa mempunyai kelayakan anes­tesiologi.

Dos pelali berlebihan - Pakar