Kok Chee Boon, 34, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar dan Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah.

Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu didakwa menerima deposit berkenaan daripada orang awam sebanyak RM15,163,200, RM998,000 dan RM48,400 yang keseluruhannya ber­jumlah RM16.21 juta antara April 2014 dan November 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di tiga lokasi berasingan iaitu di No. 12A, Jalan PJU 3/45 Sunway Damansara Technology Park; Hong Leong Bank cawangan Damansara Perdana dan UOB cawangan Kota Damansara, di sini.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.

Mohammed Mokhzani membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Al-Firdaus Shahrul Naing diikat jamin RM1 juta berserta cagaran dengan dua penjamin selain dikenakan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 21 Ogos ini untuk serahan dokumen.