Demikian hujah Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi di Mahkamah Rayuan hari ini ketika merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang wanita kerana menyebabkan kematian anak tirinya yang berusia empat tahun, ditambah.

Bagaimanapun, peguam S. Vasagarajan berhujah agar hukuman terhadap Siti Zabrina Adin, 42, dikekalkan kerana wanita itu bukan seorang pendera kanak-kanak, namun hanya satu tendangan telah meragut nyawa anak tirinya. Kecederaan lama pula tidak dibuktikan siapa pelakunya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki membenarkan rayuan pendakwa raya dan menambah hukuman penjara kepada 15 tahun terhadap bekas operator pengeluaran itu.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Mohd. Zawawi Salleh dan Datuk Kamardin Hashim sebulat suara berpuas hati rayuan pendakwa raya mempunyai merit selepas mendapati hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan pada 14 April lalu, tidak mencukupi.

Wanita berkenaan disabitkan melakukan perbuatan itu di antara pukul 3.30 petang dan 5.15 petang, 7 Ogos 2015 di rumah No. 151, Lorong Makmur 6, Taman Lukut Makmur, Lukut, Port Dickson. - UTUSAN ONLINE.