Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman kedua-dua suspek terbabit yang bermula esok.

Sementara itu, seorang lagi suspek berumur 29 tahun yang juga anak kepada Ketua Setia­usaha terbabit telah dibebaskan dengan jaminan SPRM menerusi ikat jamin berjumlah RM10,000.

Ketua Setiausaha kementerian yang berumur 59 tahun dan bergelar Datuk itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret kira-kira pukul 9.50 pagi bersama dua orang anak lelakinya.

Ketiga-tiga mereka yang berpakaian baju lokap SPRM terus dibawa ke kamar mahkamah.

Suspek bersama anak lelaki­nya yang berumur 29 tahun ditahan pada 4 Januari lalu di ke­diaman mereka di USJ, Su­bang Jaya, Selangor manakala seorang lagi anaknya yang berumur 35 tahun ditahan semasa diambil kete­r­a­­­ng­an di Ibu pejabat SPRM, di sini.

Hasil pemeriksaan, SPRM telah merampas wang tunai lebih RM3 juta daripada akaun, mata wang asing, jongkong emas serta 150 barangan terdiri daripada tas tangan pelbagai jenama mewah dan dan jam tangan berjenama.

SPRM kemudiannya merampas lagi wang tunai berjumlah lebih RM550,000 dari rumah Ke­tua Setiausaha berkenaan sekali gus menjadikan keseluruhan aset yang dirampas dalam kes ber­kenaan mencecah RM6.5 juta.

Mereka sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.