Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman Adam yang bermula esok.

Sebelum ini, Adam direman selama lima hari bermula 14 April lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Terdahulu Adam, 28, tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan tangan bergari, beliau kelihatan tenang dan tersenyum ketika melangkah masuk ke mahkamah tersebut.

Turut kelihatan di Mahkamah Majistret hari ini ialah keluarganya dan isteri selain beberapa orang penyokong termasuk Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Pada 14 April lalu, SPRM turut menyita lima buah kenderaan mewah milik Adam bagi membantu siasatan, pada masa sama suruhanjaya itu turut membekukan sebanyak lapan akaun bank bernilai RM212,461 milik Adam dan isterinya.

Kereta mewah jenis Toyota Vellfire, Mercedes-Benz C200, BMW 5 Series, Mini Cooper dan Audi A6 itu dirampas di rumah Adam di Ampang, Selangor dan semua kereta mewah tersebut akan disita sehingga siasatan diselesaikan.

Menurut sumber, SPRM juga sedang melakukan siasatan mengenai jenis perniagaan yang dijalankan oleh suspek dan bagaimana beliau boleh mendapatkan gelaran ‘Datuk’ dalam umur yang masih muda tanpa sebarang sumbangan penting kepada negara. - UTUSAN ONLINE