Saksi ke-11, K. Arumugam, 66, memberitahu teksinya dilanggar oleh jentera terbabit yang pada ketika itu bergerak dalam keadaan mengundur dan akibat pelanggaran tersebut van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di hadapannya dan teksi Proton Exora miliknya berpusing.

“Saya berada dalam keadaan pening, kelam kabut dan takut selepas teksi dilanggar jentera FRT. Saya tak ingat dan tidak perhatikan apa yang berlaku selepas itu,” katanya yang sudah membawa teksi lebih 20 tahun.

Saksi tersebut berkata demikian ketika ditanya pengawai pengendali, Zhafran Rahim Hamzah dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim yang memasuki hari ketujuh hari ini.

Bercerita lanjut Arumugam berkata, selepas kejadian pelanggaran itu dia tidak perasan ke mana perginya van EMRS malah dirinya juga terpaksa dibantu orang ramai untuk keluar daripada kenderaan.

“Dengan bantuan orang ramai saya dapat keluar daripada kenderaan. Tetapi selepas keluar saya tidak dapat berfikir dengan betul dan masih dalam keadaan kelam kabut, sebelum masuk semula dalam teksi.

“Kira-kira setengah jam selepas dapat menenangkan diri, saya dihampiri trak penunda dan mereka membawa teksi saya ke Balai Polis USJ 8 untuk laporan polis sebelum dibawa ke stor,” ujarnya.

Menjawab pertanyaan Koroner Rofiah Mohamad sama ada dia mengalami sebarang kecederaan selepas insiden malam itu, Arumugam mengatakan tidak cedera. Prosiding inkues bersambung 21 Februari ini. - UTUSAN ONLINE