Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tertuduh, Tran Van Sang, 48, yang membuat pengakuan bersalah itu menjalani hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal menjelaskan denda.

Tran didakwa bersama-sama dua lagi tertuduh menawarkan suapan RM100,000 kepada Leftenan Kom. Mohamad Rezal Kamal Bashah sebagai dorongan melepaskan dua bot nelayan Vietnam (KG 90143TS dan PAF4940) yang ditahan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 12.50 tengah hari di sebuah restoran di Kampung Meraga Beris, Kemaman pada 5 November lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dua lagi tertuduh, Abd. Rauf Mohamad, 36, dan isterinya warga Vietnam, Sa Ly Hah, 29, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama.

Mahkamah menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan menawarkan jaminan RM50,000 setiap seorang dengan syarat perlu menyerahkan pasport serta melaporkan di ibu pejabat polis daerah berhampiran setiap awal bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Nabila Kamarudin manakala semua tertuduh diwakili peguam, Rozilawati Mat Hassan. - UTUSAN ONLINE