Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, urusan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada peguam, Tommy Thomas sejak pihaknya mengumumkan keputusan untuk menarik balik saman terhadap kedua-dua defendan pada Oktober lalu.

"Sekarang kita tengah tunggu tarikh yang akan ditetapkan mahkamah kerana penarikan semula saman perlu ikut prosedur yang ditetapkan termasuk mesti dibuat di mahkamah.

"Harap-harap mahkamah boleh beri tarikh segera supaya kita dapat selesaikan isu ini secepat mungkin," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Kerajaan Pas Terengganu baru-baru ini dilaporkan menggesa supaya Petronas melunaskan baki bayaran royalti minyak dan gas untuk tahun 2018 yang dianggarkan berjumlah antara RM400 juta hingga RM500 juta.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata setakat ini, kerajaan negeri sudah menerima RM300 juta yang dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Ogos dan awal Oktober.

Perkara itu menarik perhatian rakyat yang berasa kesal dan mempersoalkan mengapa urusan pembayaran royalti kepada Kelantan masih tertangguh sehingga kini sedangkan pembayaran royalti kepada Terengganu sudah dibuat sebanyak dua kali tahun lalu.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd. Amar berkata, soalan itu wajar ditujukan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji pembayaran royalti kepada Kelantan akan dibuat menjelang akhir tahun 2018.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sejak zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Kelantan telah menyusun rapi pelbagai rancangan berasaskan kesejahteraan rakyat dengan menggunakan wang royalti yang bakal diterima.

"Jika kita sudah terima wang itu, kita akan semak semula rancangan itu dan sesuaikan mengikut keadaan semasa. Apa-apapun, asas kepada bagaimana wang royalti ini ialah perlu digunakan demi kesejahteraan rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE