Sudah tiba masanya takrifan pegawai awam dimuktamadkan kerana setakat ini keputusan yang dicapai oleh Mahkamah Rayuan menyatakan Perdana Menteri tidak boleh disaman kerana jawatan itu bukan pegawai awam.

Demikian hemat Datuk Yeoh Wee Siam dalam penghakiman bertulis beliau ketika panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membatalkan saman Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penghakiman bertulis setebal 20 muka surat itu menyatakan, Najib tidak boleh disaman atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri kerana jawatan yang disandangnya tidak diklasifikasikan sebagai pegawai awam.

Menurut hakim berkenaan, oleh kerana beliau (Perdana Menteri) bukan pegawai awam, tuntutan saman oleh Tony Pua terhadap Najib dan Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan, tidak dapat dipertahankan.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan pada 13 April lalu menolak rayuan Tony Pua selepas berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi betul ketika membatalkan saman terhadap bekas Perdana Menteri itu dan Kerajaan Malaysia.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi yang bersidang bersama Datuk Kamardin Hashim dan Hakim Wee Siam turut memerintahkannya membayar kos RM5,000 kepada setiap responden.

Hakim Wee Siam berkata, kuorum berkenaan bersandarkan kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Perdana Menteri tidak boleh disaman kerana jawatan itu merupakan anggota pentadbiran Persekutuan, bukan pegawai awam.

Keputusan itu yang dicapai pada 27 Februari lalu melibatkan permohonan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan satu lagi untuk kebenaran merayu berhubung tuntutan saman terhadap Najib yang didakwa salah laku dalam pentadbirannya berkaitan kes 1MDB.

Pada hemat Hakim Wee Siam, Tony Pua masih berpeluang untuk mencabar keputusan berhubung jawatan Perdana Menteri, dengan mengemukakan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, permohonan kebenaran merayu Tony Pua bagi mencabar keputusan panel berkenaan membatalkan saman beliau terhadap bekas Perdana Menteri, akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 5 November ini.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi ketika membenarkan permohonan Najib dan kerajaan menyatakan, Tony Pua tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tuntutan tersebut.

Hal ini kerana saman tersebut hanya bersandarkan kepada spekulasi semata-mata kerana Tony Pua tidak menyertakan sebarang butiran berhubung dakwaannya yang melibatkan dana 1MDB.