Tertuduh, Muhammad Yasifullah Abd. Gani, 30 dan Muhamad Asyraf Che Khalid, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas telah melakukan khianat menggunakan api hingga mendatangkan kerugian sebanyak RM500 terhadap dua kereta jenis Honda HRV dan Honda Odyssey milik Norhayati Ahmad, 40.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Rawang dekat sini pada pukul 12.44 pagi, 13 Mei lalu.

Pendakwaan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul 'Ain Shafie dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Akhbar sebelum ini melaporkan kakitangan kerajaan tersebut menerima ancaman daripada individu tidak dikenali apabila kediamannya dibaling cat dan molotov cocktail.

Kejadian terbabit disedari suaminya ketika hendak keluar dari rumah dan terkejut melihat lantai hadapan rumahnya dipenuhi cat, yang turut terpercik pada dua kenderaan yang diletak di situ. - UTUSAN ONLINE.