MOHD. ZAHID MAHMOOD
MOHD. ZAHID MAHMOOD

Perkhabaran duka berhubung kejadian kebakaran tersebut, menurut Mohd. Zahid Mahmood, 48, diberitahu oleh timbalan warden melalui panggilan telefon pada pukul 5.30 pagi, 14 September 2017.

Menerusi perbualan telefon itu, pengetua pusat tahfiz itu memberitahu, dia turut bertanyakan situasi kebakaran dan ke­adaan semua pelajar di situ.

“Dia telefon dengan suara yang kelam kabut, dia cakap tahfiz terbakar, ustaz dan apabila saya tanya bagaimana keadaan semua pelajar, timbalan warden itu menangis. Saya kemudian terus bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya hanya 300 meter dari rumah saya dengan menaiki kereta.

“Waktu saya sampai, api tengah marak dan saya nampak bomba sedang memadamkan kebakaran tersebut,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbi­ca­raan hari keenam terhadap dua remaja lelaki yang didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-duanya yang kini berusia 17 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar ma­sing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mohd. Zahid berkata, pusat yang diwujudkan bagi memberi pengajian tahfiz secara percuma kepada golongan yang kurang berkemampuan sejak tahun 2002 dan mempunyai 41 pelajar.

“Ketika kejadian, seramai 41 pelajar berdaftar mengikuti pengajian di situ. Dalam kebakaran itu, 21 pelajar terkorban manakala baki 20 orang terselamat,” kata saksi pendakwaan ke-17 itu.

Dalam pada itu, saksi memberitahu jumlah kutipan derma daripada pelbagai pihak berhubung kejadian kebakaran tersebut antara bulan September tahun lalu dan Januari lalu dianggarkan berjumlah RM8 juta.

Wang terkumpul itu, ujar Mohd. Zahid akan digunakan untuk membaiki bangunan terbakar, kos operasi bagi tempoh dua tahun dan diagihkan kepada waris mangsa yang terkorban serta terselamat.

Perbicaraan yang turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Selasa ini.