MICHELLE NG
MICHELLE NG

Dua remaja terbabit yang kini berusia 17 tahun membuat pengakuan tersebut selepas kesemua 23 pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz ber­kenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-dua remaja itu ma­sing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz, manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Michelle Ng.

Yang turut hadir ­Ariff Azami Hussein yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pusat tahfiz dan keluarga mangsa.

Terdahulu, sebelum prosi­ding secara terbuka itu dimulakan, Hakim Azman mengingatkan pihak media yang membuat laporan kes berkenaan untuk tidak mendedahkan identiti dan maklumat tertuduh kepada umum seperti nama, tempat tinggal dan sekolah ekoran mereka adalah tertuduh juvenil.

Sementara itu, pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal secara lisan kepada mahkamah supaya peguam dari firma guaman, Tetuan Gobind Singh Deo & Co. dikecualikan atau dilarang mewakili kedua-dua tertuduh berkenaan.

“Mana-mana peguam atau pegawai undang-undang dari firma guaman berkenaan dilarang atau dikecualikan bertindak bagi tertuduh kanak-kanak ini dengan alasan firma berkenaan telah mewakili dua pesalah kanak-kanak lain di Mahkamah Majistret.

“Dua pesalah berkenaan merupakan saksi utama dalam kes ini, maka pihak pembelaan mempunyai akses dan keterangan yang bakal digunakan semasa perbicaraan kelak,” kata Nurakmal Farhan.

Sementara itu, Michelle memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk mendapatkan arahan dari firma guamannya kerana pihaknya tidak menerima sebarang notis berhubung isu berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian tersebut, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar dan hasil siasatan dipercayai terdapat unsur khianat dalam kejadian itu.