Chang Yin Siang

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman denda RM15,000 terhadap syarikat MKYS Construction Sdn. Bhd. selepas Pengarahnya, Chang Yin Siang, 44, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Kamarudin turut memerintahkan Yin Siang dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat persendirian itu didakwa gagal mendaftar mengikut Akta GST 2014 dalam tempoh yang ditetapkan di Bahagian Pendaftaran GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Menara Kastam di sini pada 11 Mac 2015.

Terdahulu, Yin Siang yang diwa­ki­li peguam Lim Man Yong memohon hukuman denda yang rendah memandangkan syarikat tersebut masih baharu dan keadaan ekonomi yang tidak menentu selain pelaksanaan GST yang masih baru ketika itu.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang pemilik kedai menjual aksesori dan telefon bimbit, Yau Kam Loy, 33, didenda RM5,000 atau penjara dua bulan atas kesalahan sama yang didakwa dilakukan pada 14 Mac 2015.

Kam Loy yang tidak diwakili peguam dalam rayuan bagi meringankan hukuman sebelum itu memberitahu, dia tidak sempat membayar kompaun yang dikenakan ke atasnya kerana diberitahu kesnya sudah dirujuk ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan.

Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri, Maz­liza Abdul Wahid pula memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh bagi memberi pengajaran kepada peniaga lain yang tidak mengambil endah terhadap pendaftaran GST yang ditetapkan kerajaan.

Kedua-dua pertuduhan dikemu­ka­kan mengikut Seksyen 184(4) Akta GST 2014 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 96 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh membayar denda masing-masing.